Tuesday, March 15, 2011

Robert Kuok terkaya di Malaysia





Tan Sri Robert Kuok dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkotanya “Raja Gula” tahun lepas, mendahului senarai 40 orang terkaya di Malaysia.

Kekayaan beliau ialah sebanyak RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion setahun lalu .

Hartawan telekomunikasi Ananda Krishnan berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.

Tan Sri Lee Shin Chen dari IOI Corporation Bhd menduduki tempat ketiga dengan kekayaan RM11.92 bilion diikuti ahli perbankan terkemuka Tan Sri Teh Hong Piow dengan kekayaannya berjumlah RM10.86bilion.

Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dengan kekayaan bernilai RM10.38 bilion, melonjak kepada kedudukan kelima. Ini kerana beliau mewarisi sejumlah besar kekayaan daripada mendiang bapanya Tan Sri Lim Goh Tong.

Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong menduduki tempat keenam dengan RM7.09 bilion manakala Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dari Yayasan Albukhary dengan kekayaan bernilai RM6.01 bilion, menduduki tempat ketujuh.

Jutawan lain yang tersenarai dalam 10 teratas adalah balu Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua, Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.

Lima muka baru dalam senarai itu ialah Lee Swee Eng dari KNM Group, Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura, Datuk Seri Nazir Razak dari CIMB Group dan Ong Leong Huat dari OSK Holdings, yang muncul semula dalam senarai itu selepas tiada dalam tempoh setahun.

Malaysia selamat dari radioaktif


PUTRAJAYA 15 Mac – Malaysia masih selamat dari sebarang ancaman radioaktif walaupun banyak loji nuklear di Jepun rosak teruk dan beberapa buah darinya meletup serta melepaskan radiasi selepas negara itu dilanda gempa bumi kuat Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hingga kini agensi kerajaan yang memantau secara rapi apa yang berlaku di Jepun dan juga sekitar negara ini, tidak mengeluarkan sebarang amaran tentang risiko tersebut.

‘‘Saya tidak fikir kita perlu bimbang dan kalau ada apa-apa akan berlaku dalam negara, kita akan maklumkan kepada rakyat dengan segera.

‘‘Kita pantau sepanjang masa dan kalau ada apa-apa pun, ia akan dikeluarkan oleh badan yang ditauliahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup program Keluarga Angkat 1Malaysia peringkat Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Semalam, orang ramai dikatakan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta mereka supaya tidak keluar rumah bagi mengelakkan terhidu bahan radioaktif dan terkena hujan yang didakwa mengandungi toksik ekoran banyak loji nuklear di Jepun meletup selepas negara itu dilanda gempa bumi kuat.

Gempa berukuran 8.9 pada skala Richter itu merupakan yang terkuat melanda negara matahari terbit itu dalam tempoh 140 tahun sehingga mencetuskan tsunami setinggi 10 meter.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyifatkan SMS itu mungkin dikeluarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan kebimbangan luar biasa di kalangan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah menerima apa sahaja yang dikaitkan dengan bencana alam di Jepun itu tanpa merujuk kepada pihak berkuasa.

‘‘Orang ramai harus faham perkara itu berlaku di sana (Jepun) tetapi Alhamdulillah setakat hari ini di Malaysia kita tidak berdepan dengan masalah seperti di Jepun,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengutamakan keselamatan negara dan rakyat dalam melaksanakan pembinaan loji tenaga nuklear di negara ini.

Beliau berkata, agensi kerajaan yang bertanggungjawab akan melakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan loji berkenaan.

“Banyak perkara yang boleh kita belajar (daripada gempa bumi di Jepun) tetapi yang penting soal keselamatan rakyat dan negara perlu diambil kira.

“Dalam soal ini, kita ada agensi yang bertanggungjawab dan mereka tahu apa yang mereka lakukan dan kita yakin mereka melaksanakan yang terbaik,” katanya.

Pada Disember lalu, Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mengumumkan Malaysia akan membina dua loji tenaga nuklear yang mampu menjana 1,000 megawat elektrik setiap satu.

Loji pertama dijadual beroperasi pada 2021 manakala yang kedua setahun kemudian.

Jepun hargai keprihatinan Malaysia



KUALA LUMPUR 12 Mac - Kedutaan Jepun di sini, bagi pihak kerajaan dan rakyat Jepun, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan seluruh rakyat Malaysia kerana menzahirkan sikap prihatin dan simpati mereka terhadap negara itu yang dilanda gempa bumi serta tsunami semalam.

Dalam kenyataan di sini hari ini, kedutaan itu berkata, kerajaan Jepun dan semua agensi berkaitan sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mangsa dan memantau kedudukan serta keselamatan rakyat Malaysia dan negara lain yang dipercayai tinggal atau melakukan perjalanan ke kawasan terbabit.

Gempa bumi kuat berukuran 8.9 pada skala Richter berlaku di luar pantai utara Jepun semalam dan mengakibatkan tsunami setinggi 10 meter yang meragut beratus nyawa.